Ujian saringan darah tidak hanya difokuskan bagi memastikan diri bebas HIV sebaliknya ia perlu dilakukan bagi mengesan penyakit talasemia.
Apa itu TALASEMIA ???
Penyakit genetik atau keturunan ini mengganggu pembentukan sel darah merah yang normal. Kekurangan sel darah merah yang normal akan menyebabkan kulit seseorang individu itu kelihatan pucat disebabkan paras hemoglobin yang rendah.
Hemoglobin pula ialah protein yang kaya zat besi dalam sel darah merah yang berfungsi sebagai pembawa oksigen. Kadar hemoglobin yang rendah dan jumlah sel darah merah yang kurang disebabkan talasemia menyebabkan pesakit cepat penat.
Mungkin masih ramai tidak mengetahui betapa serius penyakit ini sekiranya tidak diberikan perhatian khusus terutama bagi pembawa iaitu penghidap talasemia minor berkahwin dengan individu yang turut menghidap talasemia minor.
Ini kerana setiap anak yang dilahirkan mempunyai 25 peratus risiko untuk mengalami talasemia major (talasemia), 50 peratus untuk mengalami talasemia minor (pembawa) dan 25 peratus lagi bebas daripada penyakit keturunan ini.
Bagi pembawa atau penghidap talasemia minor, mereka tidak mengalami sebarang gejala penyakit. Namun kebanyakan orang hanya sedar mereka penghidap talasemia minor apabila anak yang dilahirkan mengalami gejala penyakit ini seperti pucat, mudah letih dan perut buncit disebabkan hati dan limpa membengkak.
Ketua Jabatan Pediatrik Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Prof Dr Zarina Abd Latiff berkata, anak yang mengalami talasemia kelihatan normal sewaktu lahir dan gejala hanya akan timbul atau dapat dilihat selepas berusia empat atau lima bulan akibat kekurangan sel darah merah yang menyebabkan kulitnya pucat.
“Setiap tahun dianggarkan 150 hingga 350 bayi dilahirkan dengan talasemia major dan penyakit ini boleh menyebabkan tumbesaran bayi terbantut.
“Justeru, bakal ibu dan bapa perlu memainkan peranan bagi memastikan anak tidak mengalami sebarang masalah yang boleh menjejaskan kelangsungan kehidupan normal mereka,” katanya.
Untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai penyakit ini katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia melancarkan Program Pencegahan dan Kawalan Talasemia sejak 2004.
Ia sebahagian daripada usaha dilakukan Kementerian Kesihatan bagi meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap bahaya talasemia, penyakit baka kekurangan sel darah merah.
“Tiada rawatan khusus untuk memperbetul penyakit ini kerana ia membabitkan genetik. Apa yang boleh dilakukan adalah menjalani pemeriksaan saringan bagi mengelakkan risiko mempunyai anak menghidap penyakit ini pada masa akan datang,” katanya.
Ini bermakna, jika anda pembawa talasemia, elakkan berkahwin dengan pembawa talasemia, sebaliknya memilih individu yang tiada masalah ini. Melalui cara itu, peluang untuk anak mewarisi penyakit ini jauh lebih rendah dan hanya akan jadi pembawa saja.
Gejala talasemia
- Lemah
- Nafas pendek
- Kulit berwarna pucat
- Mengalami jaundis atau demam kuning
- Pembentukan tulang muka yang tidak normal
- Proses tumbesaran perlahan
- Air kencing berwarna gelap
- Perut buncit
Katanya, jika tidak dirawat segera talasemia boleh membawa maut disebabkan kesan anemia yang serius seperti kegagalan jantung dan jangkitan kuman. Selain itu, jika hanya mendapat rawatan pemindahan darah tanpa rawatan penyingkiran zat besi, ia akan terkumpul di dalam organ kritikal seperti jantung, hati, tiroid dan pankreas serta boleh mengganggu fungsi organ terbabit.
Adakah talasemia boleh berjangkit? Tidak. Talasemia bukan penyakit berjangkit kerana ia diwarisi daripada ibu bapa.
Bolehkah ia dicegah? Ya. Talasemia major boleh dicegah sekiranya pasangan yang ingin berkahwin mengetahui status mereka. Jika pembawa ingin berkahwin dengan pembawa lain, mereka perlu dinasihati mengenai risiko mendapat anak yang mungkin menghidap masalah talasemia major. Risiko 25 peratus itu untuk setiap kehamilan. Ini bermakna ada kemungkinan semua anak mereka menghidap talasemia major atau semua anak terselamat. Namun peluang untuk menjadi pembawa talasemia adalah tinggi iaitu 50 peratus. Jika pembawa berkahwin dengan bukan pembawa, anak mereka tidak akan mendapat talasemia major. Rawatan 1. Talasemia pada tahap sederhana hingga serius memerlukan pemindahan darah yang kerap. Setiap kali pemindahan darah dilakukan, lebihan zat besi terbentuk dan jika tidak disingkirkan boleh menjejaskan jantung, hati dan organ lain.
Golongan ini perlu melakukan pemindahan darah setiap bulan sepanjang hayat iaitu daripada peringkat bayi hingga dewasa. Tanpa bekalan darah mencukupi pesakit menjadi lemah, tidak bermaya dan tidak berupaya untuk menjalankan aktiviti harian.
2. Untuk menyingkirkan lebihan zat besi, pesakit perlu menyuntik ubat yang dicucuk di bawah kulit dan prosesnya mengambil masa yang lama. Pesakit perlu disuntik dengan ubat hampir setiap hari menggunakan jarum yang disambung kepada pam khas berterusan antara lapan hingga 10 jam. Disebabkan itu, proses terbabit dilakukan pada sebelah malam. Lebihan zat besi akan keluar melalui air kencing atau peluh.
3. Untuk kes lebih serius, pemindahan sum sum tulang diperlukan tetapi untuk mengelakkan risiko memudaratkan penderma perlu dalam kalangan adik-beradik atau keluarga terdekat.Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/20
♥ TERIMA KASIH ♥